TASQIF AL-NISA’ PERINGKAT NEGERI PERAK

Wanita Islam merupakan sayap yang menyokong pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Menyedari perkara tersebut, Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI) telah mengambil inisiatif bagi meneraju sebuah program bersama wanita pertama di negeri, iaitu Sultanah atau Tuanku Permaisuri bersama wanita-wanita utama dalam kalangan kerabat di istana dan kepimpinan wanita di negeri.

 

Pada 13 Oktober 2016, Negeri Perak Darul Ridzuan telah menjadi perintis bagi menjayakan program Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang bertemakan Wanita Selembut Sutera Seteguh Besi di Auditorium RTM, Perak. Program ini telah mendapat kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Jabatan Penerangan Negeri Perak dan agensi-agensi lain di negeri Perak. Dalam program ini, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim telah mencemar dulu bagi menyertai rakyat negeri Perak untuk turut sama menyertai forum yang berlansung bermula jam 10.00 pagi sehingga jam 12.30 tengahhari. Selain baginda, majlis turt dihadiri DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan serta kepimpinan wanita negeri Perak.

Menerusi pelaksaan program Tasqif al-Nisa, rakaman Forum Perdana Hal Ehwal islam telah diadakan. Panel yang terlibat dalam forum tersebut ialah YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Zaleha binti Kamarudin, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia merangkap Pengerusi Panel Pemikir Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI) dan YBhg. Prof. Madya Dr. Syarifah Hayaati binti Syed Ismail, Pensyarah Kanan di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Jabatan Pengajian Islam Universiti Malaya merangkap ahli PISWI. YBhg. Ustaz Nabil bin Ahmad bertindak sebagai moderator bagi kelancaran forum tersebut. Seramai 500 orang peserta telah menghadiri program tersebut.

Program Tasqif a-Nisa’ yang diadakan ini merupakan program rintis yang akan diadakan secara berterusan dengan kerjasama negeri-negeri lain pada masa akan datang.