Kepimpinan Wanita Pemacu Transformasi Ummah

piswi Kepimpinan Wanita Pemacu Transformasi Ummah
Kongres Kepimpinan Wanita Islam Peringkat Kebangsaan pada 19 Mac 2014 di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Kuala Lumpur - 19 Mac 2014 (Rabu), telah berlangsung Kongres Kepimpinan Wanita Islam Peringkat Kebangsaan 2014 bertempat di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Kongres kali ini dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI) melalui Bahagian Dakwah dan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti dengan Kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU).

Perasmian dan ucaptama Kongres ini telah disempurnakan oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir B. Hj. Baharom (B) dan menampilkan tiga pembentang hebat yang terdiri daripada para profesional dan pimpinan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam.

Sidang pertama kongres mengetengahkan topik perbincangan berkaitan Wanita, Pemimpin atau Dipimpin yang dibentangkan oleh Datin Paduka Hajah Che Asmah binti Ibrahim, Timbalan Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia. Manakala dalam sidang kedua, isu Wacana Kesetaraan Gender : Kekeliruan Feminis Muslim telah dikupas oleh Dr. Khalif Muammar A.Harris, Pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia dan sidang ketiga dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Raihanah binti Haji Abdullah, Timbalan Dekan, Pusat Penyelidikan, Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya berkaitan Isu-isu Kepimpinan Wanita di Peringkat Global

Kongres yang bertemakan, “Kepimpinan Wanita Pemacu Transformasi Ummah” diteruskan pada sebelah petangnya dengan forum yang mengupas isu,“Wanita dan Cabaran Sekularisme” oleh ahli-ahli panel yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang iaitu,Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail, Pensyarah dari Universiti Malaya, Dato' Dr. Siti Norlasiah binti Ismail, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Dr. Asyraf Wajdi bin Datuk Haji Dusuki, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Manakala moderator forum adalah Prof. Datin Dr. Azizan binti Baharuddin, Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merangkap Ahli PISWI.

Menyedari kepentingan kepimpinan wanita sebagai pemacu tranformasi ummah, Kongres Kepimpinan Wanita Islam Peringkat Kebangsaan 2014 telah bersetuju menggariskan resolusi berikut:

Pertama: 

Islam mengiktiraf peranan dan tanggungjawab wanita sama ada sebagai anak, isteri, ibu dan pekerja.  Setiap peranan dan tanggungjawab tersebut mestilah dilaksanakan menurut tuntutan syarak. Di samping itu, perjuangan memartabatkan kedudukan wanita Islam hendaklah berlandaskan prinsip kesamarataan (equality) yang berteraskan keadilan (equity).  Wanita yang memimpin tanpa mengira  peringkat kepimpinan mesti melengkapkan diri mereka dengan iman, ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan. Justeru, wanita mestilah diberi galakan, sokongan dan kemudahan prasarana untuk memimpin dan memberi sumbangan dalam pembangunan sosial masyarakat dan negara mengikut kepakaran masing-masing di samping sentiasa bersedia untuk dipimpin mengikut kesesuaian.

Kedua : 

Kepimpinan adalah suatu kewajipan setiap manusia tanpa mengira jantina dan ia adalah suatu yang diwarisi daripada Rasulullah SAW. Matlamat memimpin hendaklah membawa kepada sebaik-baik ummah (khayra ummah).

Ketiga : 

Penindasan dan diskriminasi terhadap wanita hendaklah dihindari oleh semua pihak agar keharmonian dalam masyarakat terjamin berdasarkan keadilan dan bukan kesamarataan jantina (gender equally) semata-mata.

Keempat : 

Penglibatan dan peluang kepada pemimpin wanita Islam dalam setiap aspek pengurusan perlu ditambah melalui pelbagai agensi termasuk institusi keagamaan supaya saling melengkapi antara satu sama lain.

Kelima : 

Program penjelasan dan pendidikan bagi menangkis pelbagai aliran pemikiran hendaklah disebarluaskan kepada semua lapisan masyarakat melalui pelbagai medium.

Keenam : 

Satu piagam wanita Islam di peringkat nasional hendaklah diwujudkan sebagai rujukan dan panduan berkaitan isu-isu wanita Islam di Malaysia.

Ketujuh : 

Institusi kekeluargaan yang merupakan asas paling utama dalam pembentukan keperibadian muslim hendaklah diperkukuhkan menerusi pendidikan Islam yang syumul  bagi melahirkan pemimpin yang berwibawa kepada generasi yang akan datang.

Kongres kali ini telah berjaya mengumpulkan tiga ratus orang peserta yang terdiri daripada pegawai kanan wanita dalam kementerian dan agensi kerajaan, Badan Berkanun, Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan wakil serta mahasiswa dari universiti-universiti tempatan.