Kempen Sah Nikah Sah Nasab

piswi Kempen Sah Nikah Sah Nasab

Tanggal 18 Mac 2013 Jakim melalui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK)  telah melancarkan Kempen Sah Nikah Sah Nasab bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Y.Bhg Dato’ Haji Othman bin Mustapha (Ketua Pengarah JAKIM), Y.Bhg Prof Dato’ Sri Dr Zaleha binti Kamarudin (Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) merangkap Pengerusi Panel Isu Semasa Wanita Islam (PISWI), Y.Bhg Tuan Haji Razali bin Shahabudin (TKP Pembangunan Insan), Y.Bhg Tuan Haji Awang Khalid bin Mat Ali (Pemangku TKP Pengurusan), Pengarah-pengarah dan Ketua-ketua Penolong Pengarah Bahagian di Jakim, Pengarah-pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia, Ketua Pendaftar Nikah, Cerai, Ruju’ (KPNCR) seluruh Malaysia, Ahli-ahli PISWI, ahli-ahli akademik dari IPT, IPTS dan para NGO’s.

Dalam majlis yang sama juga, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut melancarkan portal e-familyexpert.com sebagai tanda sokongan kepada kempen Sah Nikah Sah Nasab. Portal ini dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Professor Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin, Dr. Mahyuddin Ismail, pensyarah UMP yang mengikuti program pasca kedoktoran di UIAM dengan sokongan teknikal daripada pensyarah Kulliyyah Teknologi dan Komunikasi Maklumat yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Mohamad Fauzan Noordin, Prof. Madya Dr. Roslina Othman, Dr. Amelia Ritahani Ismail dan Puan Nor Azura Zakaria. Ia merupakan cetusan idea Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha setelah menyedari betapa masyarakat memerlukan satu mekanisma yang mampu berperanan sebagai penasihat dan pembimbing yang terdiri daripada pakar-pakar di dalam bidang kekeluargaan dalam mengharungi kehidupan rumahtangga.