Kuala Lumpur – 06 Februari 2015,telah berlangsung Diskusi Meja Bulat Panel Isu-Isu Semasa Wanita Islam (PISWI) yang diadakan di Bilik Mesyuarat 3, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), Jalan Duta, Kuala Lumpur. Diskusi Meja Bulat PISWI kali ini memfokuskan kepada isu merotan anak yang menjadi polemik perbahasan dalam kalangan masyarakat dan keperluan penerapan pendekatan positif di dalam mendidik kanak-kanak.
Diskusi dimulakan dengan penjelasan sebenar berkaitan isu merotan anak oleh Pengarah Bahagian Kanak-kanak dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kemudian, diskusi diteruskan dengan pembentangan berkenaan Pendidikan Kanak-Kanak Menurut Islam: Ke Arah Penerapan Pendekatan-Pendekatan Positif di Dalam Mendidik Kanak-Kanak oleh YBhg Dr. Farah Nini binti Dato’ Dusuki dari Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya. Manakala pembentangan kedua menyentuh topik “To Cane or Not to Cane: Effective Discipline from Islamic Perspective” oleh YBhg Prof. Madya Dr. Mastura Badzis dari Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Kuliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sidang diskusi pada kali ini bersetuju dan menyeru semua ibu bapa supaya menekankan pendidikan secara positif kepada kanak-kanak berbanding hukuman fizikal, sama ada dengan merotan, memukul atau sebagainya. Kanak-kanak seharusnya disayangi dan dikasihi kerana fitrah mereka yang memerlukan kasih sayang daripada orang yang rapat dengan mereka.
Sidang diskusi juga turut merangka pelan tindakan jangka pendek dalam memberi kesedaran dan pendidikan kepada ibu bapa di negara ini bagi mendidik kanak-kanak secara lebih positif dan penuh kasih sayang.
Diskusi kali ini turut dihadiri oleh 35 orang pakar yang terdiri daripada pelbagai bidang termasuk bidang undang-undang, pendidikan, sosial, syariah, fatwa dan media.
Gombak – 21 Ogos 2014, Jawatankuasa Pemikir Antarabangsa PISWI telah mengambil inisiatif untuk mengadakan diskusi meja bulat bagi membincangkan senario semasa yang berlaku di negara-negara Islam yang bergolak khususnya Palestin. Bertempat di Dewan Senat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Seramai 25 orang para ilmuwan dan pengamal media serta pendakwah-pendakwah bebas berdiskusi bagi mencari jalan untuk membantu wanita dan kanak-kanak yang terkesan dengan peperangan di Gaza.
Putrajaya - 06 April 2013 (Sabtu) - Panel Isu-Isu Semasa Wanita Islam (PISWI) Jakim telah mengadakan Persidangan Meja Bulat bertempat di Dewan 1, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Panel yang dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Zaleha binti Kamaruddin, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah bersidang buat kali pertama bagi tahun 2013 untuk membincangkan mekanisme gerak kerja khusus bagi menangani isu-isu berkaitan wanita Islam di peringkat negara, serantau dan antarabangsa.
Persidangan kali ini diadakan bertujuan untuk menyelaras strategi serta gerak kerja yang akan dilaksanakan dalam usaha memastikan segala isu berkaitan wanita Islam di Malaysia dapat ditangani berlandaskan syariat Islam dan berkesan.
Gerak kerja yang akan laksanakan merangkumi jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Sehubungan itu, persidangan memfokuskan perbincangan kepada dua aspek gerak kerja yang utama, iaitu gerak kerja bersifat kognisi yang lebih menumpukan kepada sumbangan kepakaran sama ada dalam bentuk penulisan, ceramah dan sebagainya. Oleh yang demikian, ia meliputi semua aktiviti berkaitan penyampaian maklumat sama ada melalui media cetak, media elektronik atau media baru.
No events |
PANEL ISU-ISU SEMASA WANITA ISLAM (PISWI)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Blok A dan B, Kompleks Islam Putrajaya
No. 23, Jalan Tunku Abdul Rahman, Presint 3
62100 W.P PUTRAJAYA
MALAYSIA.
Telefon : 03-8870 7000
Fax : 03-8870 7003
Email : webmaster[@]islam[dot]gov[dot]my