Persidangan Meja Bulat PISWI

Diskusi Meja Bulat PISWI Kali ke-3

piswi cane or not to cane

~CANE OR NOT TO CANE~

Kuala Lumpur – 06 Februari 2015,telah berlangsung Diskusi Meja Bulat Panel Isu-Isu Semasa Wanita Islam (PISWI) yang diadakan di Bilik Mesyuarat 3, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), Jalan Duta, Kuala Lumpur. Diskusi Meja Bulat PISWI kali ini memfokuskan kepada isu merotan anak yang menjadi polemik perbahasan dalam kalangan masyarakat dan keperluan penerapan pendekatan positif di dalam mendidik kanak-kanak.

Diskusi dimulakan dengan penjelasan sebenar berkaitan isu merotan anak oleh Pengarah Bahagian Kanak-kanak dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kemudian, diskusi diteruskan dengan pembentangan berkenaan Pendidikan Kanak-Kanak Menurut Islam: Ke Arah Penerapan Pendekatan-Pendekatan Positif di Dalam Mendidik Kanak-Kanak oleh YBhg Dr. Farah Nini binti Dato’ Dusuki dari Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya. Manakala pembentangan kedua menyentuh topik “To Cane or Not to Cane: Effective Discipline from Islamic Perspective” oleh YBhg Prof. Madya Dr. Mastura Badzis dari Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Kuliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sidang diskusi pada kali ini bersetuju dan menyeru semua ibu bapa supaya menekankan pendidikan secara positif kepada kanak-kanak berbanding hukuman fizikal, sama ada dengan merotan, memukul atau sebagainya. Kanak-kanak seharusnya disayangi dan dikasihi kerana fitrah mereka yang memerlukan kasih sayang daripada orang yang rapat dengan mereka.

Sidang diskusi juga turut merangka pelan tindakan jangka pendek dalam memberi kesedaran dan pendidikan kepada ibu bapa di negara ini bagi mendidik kanak-kanak secara lebih positif dan penuh kasih sayang.

Diskusi kali ini turut dihadiri oleh 35 orang pakar yang terdiri daripada pelbagai bidang termasuk bidang undang-undang, pendidikan, sosial, syariah, fatwa dan media.