Fatwa Mengenai Rawatan Hormon Bagi Wanita Yang Telah Putus Haid

Keputusan:

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 14 Jun 1998 telah membincangkan fatwa mengenai rawatan hormon bagi wanita yang telah putus haid. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:


Bahawa pengambilan ubat hormon itu adalah diharuskan walaupun ianya diproses dengan menggunakan hormon yang terdapat pada air kencing kuda bunting. Kaedah rawatan dengan menggunakan tampalan pada kulit badan yang menyebabkan terhalang air ke kulit, ia hendaklah ditanggalkan apabila hendak mengangkat hadas besar. Rawatan secara kaedah perdarahan bulanan yang dimulakan semasa umur kedatangan haid dan diteruskan sehingga seseorang itu putus haid, adalah harus dan darah yang keluar menurut tempoh kedatangan haid adalah dianggap darah haid walaupun seseorang itu sudah putus haid atau berada pada usia putus haid.

Bagi perempuan yang bersuami, persetujuan suami hendaklah diperolehi untuk mengambil ubat-ubatan hormon tersebut.

Status Penwartaan: 

Tidak Diwartakan

Negeri: 

Kelantan