Wajib Kursus Keibubapaan Sebelum Ambil Anak Angkat

KUALA LUMPUR: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bercadang mewajibkan semua pasangan suami isteri yang belum dikurniakan zuriat, tetapi berhasrat mengambil anak angkat menjalani kursus khas keibubapaan.

Ketua Pengarahnya, Abdul Shukur Abdullah, berkata kursus itu sebagai syarat wajib yang perlu dipenuhi pasangan suami isteri sebagai persediaan mental, fizikal dan psikologi mereka.

Katanya, LPPKN mahu pasangan yang ingin mengambil anak angkat diperlengkapkan dengan ilmu keibubapaan supaya pasangan dan keluarga bersedia untuk menerima ahli baru di dalam keluarganya.

“Kursus berkenaan diharap akan dapat membimbing pasangan suami isteri sebagai persediaan mental, fizikal dan psikologi sebelum bergelar ibu dan bapa.

“LPPKN merancang untuk mengusulkan cadangan itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mengadakan perbincangan mengenainya supaya dapat dimasukkan di dalam Akta Pengangkatan,” katanya kepada BH.

“LPPKN juga mahu kursus keibubapaan itu sebagai pelengkap sebelum mana-mana pasangan suami isteri dibenarkan mengambil anak angkat menerusi Akta Pengangkatan dilaksanakan,” katanya.

Abdul Shukur berkata, ada pasangan yang sudah lebih 10 tahun berkahwin, tetapi masih belum dikurniakan zuriat.

Katanya, LPPKN tiada sebarang paksaan kepada pasangan mengimpikan zuriat mengambil anak angkat sebaliknya, menyediakan sesi kaunseling kepada mereka supaya bersedia dan membuat keputusan tepat.

“Kita tidak mencadangkan pasangan mengambil anak angkat melainkan mengikut kehendak mereka. Cuma sesi kaunseling akan diberikan sebagai persediaan emosi dan psikologi.

“Setakat ini, kita tiada perangkaan jumlah pasangan yang sudah mengambil anak angkat selepas melakukan rawatan kesuburan di LPPKN kerana itu bukan dasar kami untuk membantu pasangan mendapatkan anak melalui anak angkat” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bagi membantu pasangan memiliki cahaya mata, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat menyediakan perkhidmatan rawatan kesuburan seperti kaedah persenyawaan luar rahim, iaitu In vitro fertilisation (IVF) dan semaian benih di dalam rahim, Intrauterine Insemination (IUI).

Ada pasangan suami isteri yang mahu mengambil anak angkat tiada ilmu dan kemahiran menjaga bayi baharu dilahirkan.

Justeru, pihaknya mahu pasangan betul-betul berkemahiran dan bersedia dalam pelbagai sudut dan menerusi kursus berkenaan ia menjadi penanda aras bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Kita tidak mahu wujud kecuaian ibu bapa yang sering berlaku seperti kes kematian akibat tersedak susu, keselamatan anak ditinggalkan di dalam kereta dan sebagainya,” katanya.