Fesyen Lawan Syariat

Gombak: Panel Isu-Isu Semasa Wanita Islam (PWISI) menyelar budaya songsang yang dicetuskan kumpulan tertentu dalam menggayakan fesyen Jilboobs (gabungan Jilbab dan Boobs) yang boleh mengundang kekeliruan dan salah faham serta bercanggah dengan tuntutan syarak dalam kalangan wanita Islam.

Fesyen terbabit yang menjadi ikutan di Indonesia mula diharamkan di negara berkenaan selepas Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa bahawa adalah haram bagi kaum wanita mengenakan pakaian Muslimah, tetapi masih menonjolkan bentuk tubuh atau berpakaian ketat.

Golongan itu mempopularkan fesyen Jilboobs iaitu mengenakan tudung kepala, tetapi berpakaian ketat bermula dari paras leher ke bawah.

Pengerusi Piswi, Prof Datuk Seri Dr Zaleha yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, biarpun perkembangan wanita berhijab di Malaysia ketika ini menunjukkan perubahan positif, namun ramai dalam kalangan wanita Muslimah terikut-ikut dengan kepelbagaian fesyen yang tidak mengikut etika berpakaian sebenar ditetapkan syariat Islam.

Katanya, keghairahan wanita muslimah berhijab mengikut trend semasa dilihat mudah diambil kesempatan oleh segelintir pihak yang tidak memahami cara berpakaian wanita Islam, sekali gus menghasilkan fesyen yang tidak kena untuk digayakan mereka. Harian Metro