Pastikan Muslimah Faham Konsep Tutup Aurat Sebenar

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Pendekatan berdakwah dengan lebih terancang harus digunakan terhadap golongan muslimah yang didapati memakai pakaian menutup aurat namun masih tidak menepati syariat Islam yang ditetapkan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, kesedaran golongan itu untuk menutup aurat terutama berhijab merupakan satu perkara yang cukup baik namun sekiranya masih ada kekurangan dalam soal pemakaian, ia harus ditegur dan dinasihati dengan cara yang betul.

"Kita mahu mereka lebih terbuka hati untuk menuruti syariat Islam yang sebenar bukannya dengan menggalakkan mereka melakukan perkara yang lebih buruk. Jadi tidak perlu kita mengecam jika cara mereka berpakaian masih tidak mengikuti apa yang dituntut agama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kebimbangan Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kelmarin berhubung trend fesyen berhijab dan cara menutup aurat dalam kalangan wanita Muslim masa kini yang dikhuatiri akan menyebabkan kekeliruan dan salah faham serta boleh menimbulkan budaya songsang sekiranya tidak dibendung segera.

Menurut Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga Pengerusi PISWI, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin, keghairahan wanita berhijab yang tidak mahu ketinggalan untuk mengikuti gaya dan trend termasuk memakai pakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh menjadi punca cara pemakaian muslimah gagal menepati syariat Islam sebenar.

Mohamad Shukri berkata, umat Islam terutama golongan wanita perlu diperbetulkan persepsi berhubung corak pemakaian menutup aurat melalui pendekatan dakwah secara berperingkat-peringkat atau kaedah Tadaruj.

"Sama juga kalau pakai tudung, jika dahulu seorang muslimah tidak memakai tudung, tetapi kini dia hanya memakai skaf menutup sebahagian rambut, sepatutnya kita menerimanya dengan hati terbuka bahawa dia sudah mahu berubah.

"Seterusnya, bolehlah dilaksanakan kaedah Tadaruj atau dakwah secara berperingkat-peringkat agar dia faham konsep menutup aurat yang sebenar. Kita ini memang hendak segalanya sempurna tetapi perlu dilakukan dengan cara yang betul," katanya.

Katanya, banyak kaedah syarak yang boleh dilakukan bagi memastikan umat Islam mengikut ajaran yang sebenar-benarnya.

"Kalau ada trend ke arah menutup aurat, ini satu perubahan yang baik daripada seorang wanita itu mendedahkan tubuh badannya di sana sini. Namun, untuk melakukan dengan betul, ia boleh dilaksanakan secara perlahan-lahan," katanya. UTUSAN MALAYSIA