PISWI beri penerangan wanita berkerjaya dari perspektif Islam

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (Piswi) akan memberi penerangan di agensi-agensi kerajaan setiap negeri mengenai wanita berkerjaya dari perspektif Islam, kata Pengerusinya Prof Datuk Seri Zaleha Kamaruddin.



Zaleha berkata penerangan itu akan dilakukan secepat mungkin pada tahun ini kerana pihaknya ada menerima aduan daripada penjawat awam wanita yang berhadapan masalah antara keluarga dan kerjaya.



"Ini menuntut mereka memikirkan mengenai pertembungan antara tanggungjawab di tempat kerja dan rumah. Isu ini kita telah teliti dan bincangkan.



"Realitinya wanita berkerjaya dan sudah berkahwin tetapi mempunyai anak-anak kecil, bila ditugaskan jauh dari rumah akan mempunyai masalah, jadi kita akan memberikan pandangan dari sudut Islam," katanya.



Zaleha berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Anggota Piswi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di sini hari ini.



Zaleha berkata selain isu itu, Piswi turut membincangkan isu keganasan terhadap wanita iaitu rogol dan masalah rumah tangga.



"Segala pandangan yang diperoleh daripada 13 anggota panel induk Piswi yang pakar dalam bidang wanita Islam akan diserahkan kepada Jakim yang juga sekretariat panel berkenaan.



"Isu yang kita bincangkan bukan hanya isu yang telah terjadi tetapi sesuatu yang kita jangkakan supaya apabila isu itu timbul sudah ada penerangan mengenainya," kata beliau.



Piswi ditubuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2010 bertujuan mengenal pasti dan memperbetulkan salah faham serta kekeliruan dari semua aspek mengenai wanita.



Dalam perkembangan lain mengenai pasangan Malaysia yang didakwa di Mahkamah Daerah Stockholm, Sweden atas pertuduhan mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka, Zaleha berkata Piswi akan memberi pandangan kepada peguam pasangan itu mengenai apa yang boleh dilakukan.



"Kita juga mempunyai pakar mengenai undang-undang antarabangsa, oleh itu kita mungkin boleh membantu dengan memberi pandangan kepada peguam pasangan itu mengenai langkah sebaiknya dari sudut Islam," katanya.



Sementara itu, Jamil Khir menyeru semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat atau Istisqa' pada setiap Khamis malam Jumaat, solat khusus memohon agar Allah SWT menurunkan hujan.



"Semoga dengan cara ini boleh menurunkan hujan memandangkan sekarang musim kemarau, menyebabkan air berkurangan dan akan timbul masalah catuan air," katanya.



-- BERNAMA