PISWI kaji isu secara lebih mendalam

Putrajaya: Badan pemikir Panel Isu-Isu Semasa Wanita Islam (PISWI) yang diwakili pakar profesional wanita Islam dalam pelbagai bidang terutama undang-undang akan melihat lebih mendalam isu pasangan warga Malaysia yang didakwa memukul empat anaknya di Sweden.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata, pihaknya prihatin dengan nasib menimpa Pengarah Tourism Malaysia di Stockholm, Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Norshal yang akan dibicarakan di mahkamah Sweden pada 18 Februari ini.


Beliau berkata, pihaknya juga akan membawa isu berkenaan dalam mesyuarat bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terutama dalam menyalurkan kepakaran undang-undang kepada pasangan itu.

“Kita tidak boleh baca fakta kes hanya menerusi laporan media sahaja sebaliknya perlu mendapatkan maklumat lengkap kes berkenaan dari sudut perundangan kerajaan Sweden dan peguam bela pasangan Malaysia itu.

“Selepas mendapat rujukan lengkap mengenai kes berkenaan, kami juga akan mencari penyelesaian dari sudut perspektif Islam termasuk mengkajinya dari aspek perbandingan keluarga dan undang-undang antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan PISWI bagi sesi 2014/2015 di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13(Harian Metro)