PISWI selar kumpulan tertentu cetus budaya songsang dalam berhijab

PUTRAJAYA – Panel Isu-Isu Semasa Wanita Islam (PISWI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyelar budaya songsang yang dicetus kumpulan tertentu dalam menggayakan fesyen berhijab.

Pengerusi PISWI, Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata kegiatan itu boleh mengundang kekeliruan dan salah faham selain bercanggah dengan tuntutan syarak dalam kalangan wanita Islam.

“Keghairahan wanita berhijab, yang tidak mahu ketinggalan untuk mengikut gaya dan trend, menjadi punca kelencongan ini,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, Isnin.

Justeru, Zaleha berkata tidak hairanlah jika ada wanita yang mengenakan hijab namun berpakaian ketat dan tidak menepati panduan ditetapkan syariat semata-mata ingin berketerampilan dan mengejar trend.

“Sejajar dengan itu, PISWI ingin menegaskan bahawa berhijab bukan trend tetapi merupakan tuntutan ketaatan kepada syariat yang telah ditetapkan oleh agama,” katanya sambil menambah hijab bermaksud menutup aurat dengan sempurna mengikut batas-batasnya, merangkumi jenis pakaian yang tidak menonjolkan bentuk badan. -BERNAMA