Sekularisme kian meresapi pemikiran ummah

World English Dictionary, mendefinisikan sekularisme kepada beberapa pengertian antaranya falsafah yang menolak semua agama dalam masyarakat dan pemikiran yang berpegang bahawa agama tiada tempat dalam kehidupan bermasyarakat.

Mudah cakap, sekularisme ialah fahaman yang menolak agama dalam kehidupan dan fahaman itu sedang menyerang masyarakat hari ini termasuk umat Islam yang mula mempersoalkan hukum agama apabila dirasakan tidak sesuai dengan gaya hidup mereka.

- Sekularisme menganggap agama tidak ada kena mengena dengan kehidupan. Lebih buruk, fahaman itu menganggap agama menyebabkan kemunduran dan yang memberi kesan kepada hidup seseorang yang datang daripada akalnya – Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Pensyarah Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail, berkata fahaman sekularisme yang bermula sejak abad ke-14 menjadi perkara tunjang dan kesannya masyarakat kini semakin menerima fahaman itu.

Beliau berkata, kesan daripada fahaman sekularisme yang sudah menyerap dalam masyarakat, menyebabkan golongan terbabit berasakan mereka bebas untuk berfikir dengan tidak mengambil kira agama dan syariat.

“Inilah buah yang terhasil daripada fahaman tunjang yang mengakar fahaman sekularisme, yang melahirkan ideologi feminisme dan humanisme. Impaknya turut dirasakan umat Islam walaupun asasnya bukan untuk kita.

“Pemahaman dan pemikiran ini masuk secara perlahan tanpa disedari, maka timbullah pandangan yang asing bertentangan Islam,” katanya pada Kongres Kepimpinan Wanita Islam Peringkat Kebangsaan. Kongres berkenaan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Panel Isu-Isu Semasa Wanita Islam (PISWI) dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sharifah Hayaati berkata, pengetahuan penting kerana fahaman sekularisme tidak boleh dihalang daripada memasuki pemikiran melainkan masyarakat faham apa yang dimaksudkan dengan sekularisme.

Katanya, sekularisme menganggap agama tidak ada kena mengena dengan kehidupan. Lebih buruk, fahaman itu menganggap agama menyebabkan kemunduran dan yang memberi kesan kepada hidup seseorang yang datang daripada akalnya.

“Ini menyebabkan perkara yang tidak sepatutnya turut dibangkitkan. Maka berlaku ada yang pertikaikan kenapa wanita tidak boleh jadi imam atau tidak perlu pakai tudung. Kita orang Islam yang menentukan adalah hukum Allah SWT serta tahap keimanan,” katanya.

Beliau tidak menafikan pemikiran serta hujah golongan berkenaan mudah diterima khususnya mereka yang tiada asas kukuh mengenai hukum agama sehingga mudah menerima sesuatu yang datang berasakan hukum akal.

Ini ditambah kekuatan serta ketajaman bahasa dimiliki golongan sekular untuk meyakinkan orang lain menyebabkan hujah mereka senang diterima.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kumpulan liberal berani mempersoalkan isu agama termasuk kesahihan hadis serta menggambarkan Islam tidak meraikan kepelbagaian.

Katanya, Islam tidak menolak kebendaan atau keduniaan sedangkan ciri-ciri sekularisme menolak agama seperti dijelaskan Syed Naquib al-Attas iaitu penolakan aspek kerohanian dalam kehidupan, memisahkan unsur ketuhanan dalam politik dan sosial serta menentang autoriti agama yang dikatakan menjadi penghalang kepada kemajuan.

“Dulu orang lihat tudung sebagai kekampungan tetapi kini tudung menjadi trend, malah sudah jadi sebahagian daripada aspek kemodenan di negara kita. Kumpulan sekular dan liberal tidak mahu terikat dengan agama dan ini mencabut identiti agama,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam perlu mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan jangan membenarkan orang lain mentakrif Malaysia sebagai negara sekular.

Mengambil contoh Turki yang mengiktiraf negaranya sebagai sekular, maka semua perkara berkaitan Islam tidak boleh dilaksanakan walaupun lebih 90 peratus rakyat negara itu Muslim.

“Umat Islam di Malaysia boleh menganjurkan program agama kerana agama negara adalah Islam. Justeru, ini perlu dipertahankan dengan memastikan fahaman bertentangan syariat seperti fahaman sekularisme dan liberalisme ditangani sebaiknya,” katanya. – Berita Harian