MAJLIS PELANTIKAN AHLI PANEL ISU-ISU SEMASA WANITA ISLAM (PISWI) SESI 2019-2021

PUTRAJAYA (11 SEPTEMBER 2019)- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Dasar Kemajuan Islam telah mengadakan satu Majlis Pelantikan Ahli Panel Isu-Isu Semasa Wanita Islam (PISWI) bagi sesi 2019-2021 yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana menteri (Agama). Turut hadir dalam Majlis tersebut YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Puan Hajah Fuziah Salleh dan ketua-ketua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Agama).

Panel Isu-Isu Semasa Wanita Islam (PISWI) ini merupakan satu platform yang terdiri daripada kumpulan profesional dari pelbagai latar belakang dan pengalaman meliputi ahli akademik, ilmuan dan mereka yang berpengalaman luas dalam memberikan sumbangan kepada hal ehwal wanita Muslim di negara ini. Penubuhan PISWI ini bukan sahaja bermatlamat untuk memperbetulkan salah tanggapan terhadap isu-isu yang dikemukakan oleh pihak-pihak tertentu sahaja, malah ia juga berperanan dalam menangani apa-apa kekeliruan khususnya berhubung Islam dan wanita yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak sama ada organisasi, Jabatan, badan bukan kerajaan (NGO), individu dan lain-lain dalam perspektif Islam. Selain itu, Panel ini ditubuhkan untuk merancang strategi bagi meningkatkan kesedaran hak-hak dan tanggungjawab wanita dalam kerangka Islam secara komprehensif dan menyeluruh.

Harapan YB Menteri dalam ucapannya agar PISWI yang dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail dapat mencetuskan idea-idea yang bernas dalam memahami konteks Siasah Syar’iyyah berdasarkan tiga (3) teras Rahmatan Lil ‘Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia agar tidak berlaku pertembungan dengan kehendak yang tidak mengikut standard sebagai orang yang diberi amanah untuk memerintah. 

Bersempena dengan majlis tersebut turut diadakan sesi ramah mesra bersama YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Pn. Hajah Fuziah Salleh. YB Timbalan Menteri dalam ucapannya menjelaskan kepentingan dan peranan PISWI seterusnya mengharapkan panel ini bergerak aktif dalam meladeni isu-isu semasa terutamanya yang melibatkan wanita.