Kertas Kerja / Artikel

PERINTAH NAFKAH - BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA (BSK)

 

Islam telah menetapkan tanggungjawab memberi nafkah terhadap isteri dan anak adalah di bawah tanggungjawab suami dan bapa. Sekiranya berlaku penceraian di antara suami dan isteri, tanggungjawab memberi nafkah terhadap anak tetap menjadi tanggungjawab seorang bapa dan tidak akan putus dengan alasan penceraian. Walau pun begitu, isu pengabaian nafkah anak masih berlegar dalam masyarakat. Ramai lelaki di luar sana masih tidak melaksana perintah nafkah anak sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah. Pihak yang menerima perintah nafkah juga tidak mengetahui hak mereka sekiranya perintah nafkah tidak dipatuhi. Justeru ramai ibu-ibu tunggal yang teraniaya tanpa mengetahui bahawa mereka boleh hadir ke mahkamah memohon agar perintah nafkah tersebut dikuatkuasakan sekiranya suami atau bekas suami gagal patuh kepada perintah nafkah mahkamah syariah.

Rentetan daripada persoalan pengabaian nafkah, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) ditubuhkan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebagai alternatif menyelesaikan permasalahan berhubung pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah nafkah. Keruncingan masalah pengabaian perintah Mahkamah Syariah berkaitan pembayaran nafkah pada masa itu telah menjadi perhatian masyarakat dan juga telah menjadi perhatian kerajaan. Sehubungan itu Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-46 pada 7 Jun 2007 yang dipengerusikan oleh Mantan Perdana Menteri Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi (pada ketika itu) telah memutuskan agar BSK diwujudkan. Keputusan ini telah direalisasikan pada bulan Oktober 2008 apabila BSK ditubuhkan dan mula beroperasi sejak April 2009 dengan menempatkan seramai 96 orang pegawai dan kakitangan JKSM di seluruh Mahkamah/Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri.

 

Mekanisme pelaksanaan
Fungsi BSK dalam membantu kes-kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah, dilaksanakan melalui mekanisme yang berikut:

a) pegawai BSK diberikan tauliah sebagai peguam Syarie dan bailif oleh pihak berkuasa Negeri-Negeri kecuali Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor;

b) BSK menyediakan pendahuluan nafkah (bersifat revolving fund yang disalurkan oleh Kerajaan) dan bantuan nafkah (yang disalurkan oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri) kepada penghutang penghakiman (isteri/ bekas isteri) yang tidak berkemampuan (iaitu yang berada di bawah had kifayah) selama tempoh 6 bulan selepas kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah didaftarkan di mahkamah Syariah. Jumlah pendahuluan nafkah tersebut adalah mengikut jumlah yang dinyatakan dalam perintah nafkah oleh mahkamah Syariah;

c) bagi membolehkan pengabaian perintah nafkah diambil tindakan dengan segera, JKSM telah mewujudkan sistem e-nafkah pada tahun 2012 yang mana sistem tersebut diintegrasi dengan sistem e-syariah. Melalui integrasi sistem tersebut, BSK dapat memantau mana-mana perintah nafkah yang tidak dipatuhi;

d) sekiranya didapati berlaku pelanggaran perintah nafkah dan pemiutang penghakiman berhasrat untuk mengambil tindakan mahkamah, pegawai BSK yang diberi tauliah sebagai peguam Syarie akan memberikan khidmat guaman kepada pemiutang penghakiman dalam prosiding penguakuasaan dan pelaksanaan perintah;

e) selepas mahkamah Syariah mengeluarkan perintah penguatkuasaan melalui apa-apa cara yang ditetapkan oleh undang-undang (seperti perintah penyitaan dan penjualan), pegawai BSK yang diberi tauliah sebagai bailif pula akan membuat pelaksanaan perintah mengikut cara-cara pelaksanaan yang diperintahkan oleh mahkamah; dan

f) di samping pemantauan pematuhan perintah melalui integrasi e-nafkah dan e-syariah, pihak JKSM melalui BSK juga mengadakan promosi dan kaunter-kaunter bergerak secara berkala di tempat tumpuan awam bagi memudahkan orang awam mendapatkan khidmat nasihat perundangan Syariah dan khidmat guaman yang berhubungan dengan perintah nafkah.

Mengambil ibrah daripada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Bantulah saudara kamu yang menzalimi dan dizalimi”, BSK dengan peranan dan fungsi yang ditetapkan akan sedaya upaya memberi bantuan kepada kedua-dua pihak samada penghutang penghakiman (bapa/suami) dan pemiutang penghakiman(ibu dananak-anak) dalam memastikan hak dan tanggungjawab sebagaimana digariskan oleh ajaran Islam dapat disempurnakan.

 

Info :

https://www.facebook.com/bahagiansokongankeluarga

http://bsktransit.jksm.gov.my/bsktransit/